Selasa, 22 April 2008

Khasiat Susu Dan Daging Kambing.

Ditulis Oleh: Hydzelan bin Hashim
Isnin, 04 Februari 2008


Kambing atau nama saintifiknya Capra Aegagrus merupakan spesis mamalia yang dipelihara sebagai ternakan. Terdapat juga kambing liar yang tinggal di kawasan berbukit dikenali sebagai kambing gurun dan ia merupakan haiwan yang dilindungi. Kambing adalah haiwan pemakan daun atau maun.

Makanan utamanya adalah rumput-rampai dan dedaun pokok. Seekor kambing dewasa memerlukan 4 – 5 kg rumput segar sehari. Penjagaan makanan amat perlu dititikberatkan. Ini kerana, selain daripada aspek pencemaran habitat (persekitaran kandang), kebanyakan penyakit yang dihidapi oleh seekor kambing adalah berpunca daripada pencemaran makanannya sendiri. Oleh itu, pemberian makanan yang seimbang perlulah difahami agar kesihatan dan kecergasan kambing dapat sentiasa dikekalkan. Jenis-jenis makanan yang boleh diberikan perlulah dirujuk terlebih dahulu dengan penternak yang telah sedia ada. Ini kerana makanan yang diberikan oleh setiap penternak dan kandang adalah berbeza.

Kambing membiak dengan cara melahirkan anak dan menjaga anaknya sehingga dewasa. Penjagaan yang rapi serta betul perlulah diberikan sewaktu kambing ingin melahirkan anak. Tindakan-tindakan kambing sewaktu melahirkan anak dan selepas melahirkan anak ada menunjukkan perbezaan. Namun, terdapat juga kambing yang kurang mahir menjaga anak yang baru dilahirkan kerana keletihan terutamanya bagi kambing bunting kali pertama. Kolestrum atau susu awal amat penting bagi anak kambing yang baru dilahirkan. Sekiranya ibu kambing mati, ibu kambing tumpang mesti disediakan bagi memastikan anak tersebut mendapat kolestrum. Jika proses penyediaan ibu tumpang tidak berjaya, penternak perlu berperanan lebih aktif dengan memerah susu ibu tumpang untuk diisikan dalam botol susu lalu diberikan kepada anak kambing itu.

Jika dirujuk kepada kitab-kitab kisah para Anbiya’, ternyata sekali ternakan kambing adalah salah satu sunnah dalam kehidupan para ‘Anbiya seperti Nabi Syuib, Nabi Musa dan Nabi Muhammad. Dalam kitab Qasas al-Anbiya, Ibn Katsir menyatakan anak nabi Adam, Habil merupakan penternak kambing yang pertama di muka dunia. Dalam sebuah mafhum hadis yang sanadnya disandarkan kepada Said al-Khudri menyatakan bahawa Rasulullah pernah bersabda, “Akan tiba suatu masa dimana kambing merupakan sebaik-baik harta bagi orang Islam. Orang Islam akan memeliharanya di puncak-puncak bukit dan di lembah-lembah, hidup terpencil dari masyarakat demi memelihara agama daripada ditimpa bencana”. Malah menurut Abdulah bin Mas’ud semasa beliau bertugas sebagai gembala kambing milik Utbah bin Mu’aith, susu kambing segar merupakan minuman kegemaran Rasulullah dan baginda meminumnya secara langsung setelah diperah dari tetek kambing betina. Secara tidak langsung, semua fakta ini menunjukkan betapa kambing itu merupakan satu kepentingan asasi dalam kehidupan manusia.

Selain daripada tanduk dan kulitnya yang boleh dijadikan perhiasan, kambing juga merupakan sumber utama susu (white gold) yang berkhasiat dan daging yang berzat (red gold) jika dibandingkan dengan spesis ternakan lain seperti lembu, kerbau dan unta. Susu kambing adalah makanan semulajadi berkhasiat yang diperlukan untuk kesihatan badan seharian. Ianya sesuai untuk semua lapisan umur. Susu ini boleh diminum panas atau sejuk malah boleh dibuat dadih, ais krim, keju dan mentega. Pada masa sekarang industri kosmetik mengeluarkan berbagai produk berasaskan susu kambing seperti syampu, krim muka, sabun, pewangi dan juga krim pencukur.

Antara keistimewaannya ialah:-
• Mengandungi protein, enzim dan vitamin A yang baik untuk mata serta vitamin D untuk menguatkan tulang.
• Mengandungi faktor anti-antritis (inflamasi sendi) dan anti barah.
• Diperakui oleh pakar-pakar kesihatan bahawa susu ini boleh mengubati demam kuning, penyakit kulit, gastrik, lelah (asma), insomnia dan ulcer.
• Mudah dihadam kerana zarah lemaknya lebih kecil.
• Khasiat susu kambing yang disimpan sejuk atau sejuk beku tidak akan berubah kualitinya.

Lantaran ini susu kambing merupakan ubat atau penawar berkesan bagi penyakit-penyakit seperti:-
o Demam kuning (jaundis)
o Penyakit Asma (lelah)
o Gastrik dan ulser perut
o Eczema (penyakit kulit)
o Migrain (sakit kepala)
o Mengetatkan kemaluan wanita (faraj)
o Menguatkan tulang

Sementara daging kambing atau chevon (red gold) yang berzat lagi sedap dimakan dikenali sebagai “naturally occuring health meat” yang memiliki ciri-ciri berikut, iaitu:-
• Kalori rendah
• Kadar lemak rendah
• Nisbah lemak tidak tepu/lemak tepu tinggi
• Kandungan kolestrol rendah
• HDL-C tinggi dan LDL-C adalah rendah
• Mampu menghindari penyakit jantung sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr.John R.Addrizzo (MD) dalam artikelnya, “Use of Goat Milk and Goat Meat as Therapeutic Aids in Cardiovascular Diseases”
• Menurut kajian Dr.Peter J.D’Adamo – daging kambing amat sesuai untuk jenis darah ‘O’, ‘B’, dan ‘AB’ yang dimiliki oleh seramai 75% rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: